Monday, April 19, 2010

paper bag yang unik~


dari keratan akhbar Harian Metro: Lelap 20 minit waktu kerja~


TIDUR sekejap di waktu siang terutama pada waktu tengah hari didapati amat berkesan untuk meningkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti seseorang pekerja.

HILANG TUMPUAN... kelesuan boleh menyebabkan seseorang hilang tumpuan dan menggugat prestasi kerja. Biarpun ada yang beranggapan ia bukan sesuatu yang elok untuk diamalkan di tempat kerja, jika diteliti dengan lebih mendalam, tidur sekejap di waktu rehat tidaklah bermakna seseorang itu curi tulang atau ponteng kerja.

Di negara barat terutama Amerika Syarikat (AS), pelbagai kajian sudah dijalankan dan mendapati bahawa 92.5 peratus pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari mempunyai daya kreativiti serta keupayaan mereka menyelesaikan masalah adalah jauh lebih tinggi.

Ia disebabkan waktu tengah hari adalah masa yang paling sesuai untuk berehat seketika kerana sistem badan kita dikatakan memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu berkenaan yang juga dikenali sebagai kelesuan pada pertengahan hari.

Ini disebabkan keletihan bekerja lebih memuncak pada waktu tengah hari dan ia mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala dapat membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah.

Ia dapat membantu melancarkan pengaliran darah serta oksigen selain berupaya memperbaiki sel badan dan mengendurkan otot yang digunakan secara aktif ketika bekerja. Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda pekerja yang berpeluang berehat dengan tidur seketika akan menjadi lebih tenang daripada tekanan serta dikatakan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan.

Kajian penyelidik Nasa menunjukkan, tidur siang selama 24 minit mampu memperbaiki kepekaan dan prestasi juruterbang dan tidak hairan jika tidur seketika di waktu tengah hari itu sudah menjadi amalan di negara maju seperti AS, Itali serta Sepanyol.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata merehatkan diri dengan melelapkan mata seketika di siang hari mampu meningkatkan lagi produktiviti kerja seseorang individu.

Menurutnya, waktu tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika dan sistem pekerjaan yang diamalkan di negara ini memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari bagi dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak serta berehat.